HANOI: Dollah Salleh seperti sudah mendapat ilham dalam usahanya untuk memaksa Vietnam gigit jari pada pertembungan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014, malam esok.
Hadir ke Stadium My Dinh, di sini dengan misi perlu menang besar, ketua jurulatih kebangsaan itu dijangka akan melakukan rombakan dalam kesebelasan utamanya dengan mempertaruhkan lebih ramai pemain 'veteran'.
Antara pemain yang sah kembali disenarai dalam kesebelasan utama jurulatih kebangsaan itu ialah kapten pasukan, Shukor Adan dan pemain tengah berpengaruh, Mohd Amri Yahyah.
Begitupun, kelibat beberapa lagi pemain veteran termasuk kapten Kelantan, Badhri Radzi dan Indra Putra Mahayuddin juga dijangka akan dipertaruhkan Dollah bagi membantu pemain muda untuk lebih fokus.
"Pengalaman beberapa pemain senior diharap dapat membantu pasukan supaya tidak leka," kata Dollah. "Jika kita ulang perlawanan menentang Singapura, mungkin kita dapat kejayaan di sini.
"Misi di Hanoi bukan mudah tapi tidak mustahil. Misi kita adalah layak untuk ke perlawanan akhir," katanya.
Pada perlawanan pertama di Shah Alam, minggu lepas, Malaysia tumbang 1-2 kepada Vietnam sekalipun lebih dulu di depan menerusi penalti yang disempurnakan Safiq Rahim.
Dollah yang mengulas perlawanan di Shah Alam berkata antara punca kegagalan adalah pemainnya gagal berkomunikasi dan kerapuhan jentera pertahanan.
Untuk mara ke final, Malaysia perlu menang sekurang-kurangnya dengan jaringan 2-0 dengan keputusan 2-1 akan mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Begitupun, rekod perlawanan jelas tidak memihak pasukan kebangsaan di My Dinh apabila skuad negara tidak pernah menang di gelanggang keramat lawan itu termasuk ketika kekalahan 3-1 pada aksi persahabatan November lepas.
0 Komentar untuk "Dollah sudah ada ramuan perangkap Vietnam"