Salah seorang mangsa penipuan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Seri Petaling. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR, 10 Disember:
Ibu kepada pemain bola sepak kebangsaan terkenal didakwa menipu tiga keluarga membabitkan jumlah penipuan lebih RM5,000.
Salah seorang mangsa, Pairus Jaafar Sidek, 40, berkata, penipuan itu bermula apabila anaknya terpilih untuk menyertai Pesta Bola bertempat di Brunei pada Jumaat ini (12 Disember) dan perlu membeli tiket penerbangan ke sana untuk dia sekeluarganya.
Dakwanya, ketika menemani anaknya menjalani latihan, wanita yang dikenalinya sebagai Rose menawarkan pertolongan untuk membelikan tiket penerbangan ke Brunei dan mendakwa mampu mendapatkannya dengan harga rendah berikutan anak perempuannya bekerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan tambang murah.
“Dia telah meminta saya memberikan wang sebanyak RM2,800 untuk membelikan tiket penerbangan bagi enam orang. Disebabkan sudah dua tahun saya mengenalinya, pada 24 November lalu, saya telah menyerahkan wang itu kepadanya tanpa ragu.
“Wanita itu berjanji pada 3 Disember, dia akan menyerahkan tiket itu kepada saya tetapi malangnya sehingga ke hari ini, janji hanya tinggal janji. Apabila saya menghubunginya kelmarin, dia cakap saya perlu menambah sebanyak RM1,080 kerana tiket murah itu sudah habis.
“Pada masa itu, saya sudah pelik kerana kenapa mesti saat-saat akhir baru dia meminta saya membayar jumlah itu, kenapa sebelum ini, dia hanya mendiamkan diri. Saya mula rasa ragu dan meminta nombor telefon juruterbang yang tolong membelikan tiket itu daripadanya,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Menurutnya, pada awalnya, wanita terbabit enggan memberikan nombor telefon berkenaan dengan memberikan pelbagai alasan tetapi setelah didesak akhirnya dia akur.
“Segalanya terbongkar apabila saya menghubungi juruterbang itu, rupa-rupanya dia bagi wang yang tidak mencukupi kepada juruterbang berkenaan dan apabila ditanya, dia berkata saya yang masih tidak cukup duit untuk membayar tiket. Pada masa itu juga, baru saya tahu bahawa itu bukan anaknya.
“Selepas saya tahu semua penipuan itu, memang saya marah dan telah memuat naik status di Facebook dengan menyebut nama anaknya. Malam itu juga, wanita itu dan suaminya datang ke rumah saya dan memarahi saya dengan meminta saya memadamkan nama anaknya di status itu, jika tidak, anaknya yang bakal beraksi di Piala AFF Suzuki itu akan saman saya,” ujarnya.
Katanya, sejurus itu, dia bersama dua lagi mangsa yang turut ditipu menggunakan teknik yang sama membuat laporan polis di Balai Polis Seri Petaling, semalam, bagi menuntut kembali wang mereka.
“Juruterbang itu juga turut bersama kami ketika membuat laporan itu kerana tidak mahu terlibat dalam penipuan wanita berkenaan. Saya meminta, dia memulangkan semula duit kami, jika tidak, kami akan mengambil tindakan undang-undang ke atasnya,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis daripada Balai Polis Seri Petaling ketika dihubungi The Rakyat Post mengesahkan menerima laporan berhubung kes terbabit.
Sementara itu, wanita berkenaan ketika dihubungi The Rakyat Post bagaimanapun masih enggan memberi sebarang kenyataan buat masa ini dan berjanji akan menghubungi semula The Rakyat Post.
Sumber : http://bm.therakyatpost.com/
0 Komentar untuk "Ibu penyerang Harimau Malaya didakwa tipu tiga keluarga "