Malapetaka Untuk Harimau Malaya

SHUKOR ADAN CEDERA. MUNGKIN TERLEPAS UNTUK BERAKSI MENENTANG THAILAND.





Kem negara menerima perkhabaran buruk apabila mungkin terpaksa melupakan khidmat kapten Shukor Adan pada final pertama Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, esok selepas masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan belakang.

Shukor, 35, ditimpa kecederaan itu selepas dikasari pemain Vietnam pada separuh akhir kedua Khamis lalu yang menyaksikan Malaysia menang 4-2 sekali gus mara ke final dengan agregat 5-4.

Menurut pemain FELDA United itu, dia masih berasa sakit ketika menjalani latihan walaupun sudah empat hari mendapatkan rawatan pemulihan.

“Saya mahu lihat dulu keadaan kecederaan ini pada sesi latihan petang ini (semalam), saya harap kecederaan ini tidak mengganggu saya untuk perlawanan Rabu ini.

“Kalau saya masih rasa sakit, saya perlu membuat pemeriksaan doktor,” katanya sebelum memulakan latihan di Stadium SCG Muang Thong United, semalam.

Kehadiran Shukor dalam skuad kendalian Dollah Salleh amat diharapkan selepas dia bukan saja cemerlang bergandingan dengan Mohd Fadhli Shas di benteng tengah mengekang serangan Vietnam malah turut menjaringkan gol pada perlawanan itu.

Pengaruhnya dalam padang memberikan arahan cukup penting kepada pasukan dan dia bersedia untuk menahan kesakitan jika perlu beraksi.

“Kita sudah melangkah ke final, kalau boleh soal sakit ini tolak ketepi. Saya cuba untuk pulih dalam masa satu-dua hari,” katanya yang mahu tampil buat kali pertama di pentas final Piala AFF.

Sementara itu Dollah berharap Shukor dapat pulih sebelum perlawanan namun beliau turut mempunyai perancangan awal jika hajat itu tidak tercapai.

“Saya masih mempunyai Afif (Amiruddin) dan Muslim Ahmad untuk bermain bersama Fadhli, tapi kalau boleh saya mahu Shukor beraksi kerana dia boleh menyusun bahagian pertahanan. Kalau dia tiada, ia satu kerugian besar buat pasukan,” katanya.

-BH

1 Komentar untuk "Malapetaka Untuk Harimau Malaya"

 
Copyright © 2014 Info Semasa - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info