Peminat bola sepak wanita Malaysia tidak tahu malu
Sikap keterlaluan peminat wanita Malaysia terhadap pemain bolasepak Charly Chappius di laman Instagram yang dianggap tidak tahu malu oleh Hogan. - Foto: Instagram
KUALA LUMPUR, 21 Disember:
Kemunculan pemain bola sepak Thailand bernama Charly Chappius di perlawanan pusingan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2014 tempoh hari, sememangnya mencuri tumpuan khususnya gadis-gadis di Malaysia.
Turut memiliki kemahiran bola sepak yang tinggi serta telah menjaringkan gol bagi pihak lawan ketika menentang Malaysia, pemain nombor 7 ini segera meraih perhatian kerana memiliki raut wajah yang kacak.
Ada yang mendakwa pemain kacak Thailand itu dikatakan persis Cristiano Ronaldo.
Sejurus perlawanan itu, biodata dan kisah jejaka kacak ini juga habis dibongkar hingga kekasih hati Charly, turut menjadi mangsa kutukan gara-gara ramai yang cemburu terhadap wanita yang mampu memiliki hati jejaka idaman mereka ini.
Kutukan gadis-gadis Malaysia itu dibaca oleh peminat Charly sendiri sehinggakan salah seorang lelaki yang dikenali sebagai Hogan Markus, menegur sikap keterlaluan mereka.
Kata Markus, dia terkejut melihat Instagram milik pemain Thailand itu dipenuhi komen daripada gadis Malaysia yang selama ini didengarnya majoriti beragama Islam dan memakai tudung sebagai lambang maruah diri dan memiliki perasaan malu yang menebal.
Namun melihat komen yang dilontarkan, Markus berpendapat kebanyakan mereka tidak mempunyai perasaan malu.
Teguran oleh Markus itu dikongsikan oleh beberapa pengguna laman sosial dan rata-rata mereka malu dengan sikap tidak sopan yang ditunjukkan gadis Malaysia yang bertindak menghembur kata-kata hinaan kepada teman wanita Charly.
Zam Azman Salleh yang memuat naik ‘printscreen‘ komen Markus itu ke laman sosialnya berkata, dia sangat malu dengan sikap keterlaluan segelintir gadis Malaysia itu sehinggakan merosakkan nama gadis Malaysia yang lain.
Afiqah Ismail pula melabel gadis yang bertindak sedemikian sebagai gedik dan tidak sedar diri.
“Sibuk kutuk teman wanita Charly itu hodoh, padahal yang komen itu pun bukanlah cantik pun, muka masing-masing dah macam beranak 10. Tolonglah sedar diri dan jaga air muka sikit. Jangan terhegeh-hegeh,” katanya.
Sumber : http://bm.therakyatpost.com
0 Komentar untuk "Peminat bola sepak wanita Malaysia tidak tahu malu"